Sunday, March 23, 2008

Terengganu Darul Iman Dapat Menteri Besar Baru

Assalamualaikum WBT

Semalam, pihak Istana mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. Pelantikan ini sekaligus mengenepikan desas-desus bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh akan memegang jawatan itu untuk penggal yang kedua setelah kemenagan besar pihak BN pada PRU12 yang lepas di negeri penyu itu.

Namun, setelah pelantikan di buat oleh pihak istana, akhbar-akhbar arus perdana melaporkan 23 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak pelantikan itu dan berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Idris. Mereka tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar baru yang dijadual berlangsung di Istana Tetamu, hari ini.

Dalam pada itu ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid berkata ‘‘Mana-mana calon selain Idris, kami tidak akan terima. Malah ada di kalangan kami yang sanggup meletak jawatan jika beliau tidak dipilih. Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya sekali lagi,” tegasnya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman di sini hari ini. Rasol menambah, tindakan tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah jawatan esok bukan perbuatan menderhaka kepada raja, sebaliknya dilakukan atas alasan untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

Dalam pada itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan MPPR negeri itu.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sedar tentang peruntukan tersebut yang baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar di negeri berkenaan. Menurut Abdul Gani, berdasarkan kepada Perkara 34 (1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka tidak boleh menjalankan fungsi sebagai Raja Negeri Terengganu melainkan sebagai Ketua Agama Islam. ‘‘Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon sendiri bagi mengisi jawatan Menteri Besar. Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja. ‘‘Justeru, baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut,’’ kata Abdul Gani.

Ini menunjukkan betapa tidak matangnya politik di Malaysia amnya. Betapa ceteknya pemikiran mereka, bahkan ini pada aku, mereka-mereka ini mempunyai kepentingan sendiri dalam meletakkan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Walhal Ahmad Said juga merupakan ahli UMNO bahkan telah dipilih sebagai ADUN di kalangan rakyat pada pilihanraya yang lepas. Maka tidak timbul soal percaya atau tidak. Jika ini berlaku, bermakna berlaku perpecahan dalam UMNO itu sendiri. Mereka menang besar di Terengganu, tapi mereka tidak mampu untuk bersatu dalam hal ini.

Wahai Rosol dah Ghani Patail, kenyataan-kaenyataan kamu itu sungguh aku tidak percaya akan keluar dari mulut seorang yang diangkat menjadi suara rakyat dan seorang ahli undang-undang Negara. Sungguh angkuh sekali kamu menidakkan titah Sultan bahkan memberitahu bahawa Pemangku Sultan yang berusia belasan tahun itu yang berhak memberi kata putus dan menidakkan kuasa sultan sebenar hanya kepada hal-hal keagamaan. Nescaya akan hancur negeri Terengganu itu jika beginilah keadaannya.

Jikalau para ADUN yang telah diangkat rakyat atau sendiri angkat itu meletak jawatan mereka. Nescaya Abdullah akan bangun dari tidurnya dan rakyat juga akan membuka mata hati mereka seluas-luasnya. Janganlah kamu melakukan perkara yang bodoh lagi dangkal itu andai kamu tidak mahu kehilagan negeri itu.

Aku ingin menyatakan kisah Khalid Al Walid sebagai ingatan pada kita semua serta menjadi contoh para-para wakil rakyat itu.

Khalid Al-Walid (1179M-1237M) merupakan pahlawan Islam yang terbilang. Khalid merupakan ketua angkatan tentera Islam yang dihantar ke seluruh benua alam oleh Rasullulah SAW dan juga Khalifah Abu Bakar untuk memancarkan syiar Islam.

Sehinggalah pemergian Khalifah Abu Bakar, beliau digantikan dengan Khalifah Umar Ibnu Khattab. Ketika itu, Khalid Al Walid berada di Rom bersedia untuk menyerang Rom. Sedang Khalid menyediakan persiapannya, datang seorang wakil Khalifah Umar Ibnu Khattab membawa utusan. Utusan itu datang bersamanya membawa 1 berita gembira dan 2 berita sedih iaitu, pelantikan Umar Al Khattab sebagai Khalifah kedua, kematian Abu Bakar As Siddiq serta perlucutan jawatan Khalid sebagai ketua tentera serta digantikan oleh Abu Ubaidah Bin Jarah.

Namun Khalid Al Walid menerima perintah itu dengan hati yang tenang. Lalu beliau menjemput panglima baru, Abu Ubaidah untuk diberitahu akan berita-berita itu. Abu Ubaidah menangis teresak-esak kerana amat hiba hatinya. Abu Ubaidah menyatakan beliau takut dengan pelantikan itu kerana takut tentera Islam akan berpecah dan Abu Ubaidah malu kerana beliau merasakan masih ramai lagi yang lebih layak.

Bahkan beliau menambah “Jawatan bukannya lambang kemegahan, tetapi tanggungjawab. Sekiranya tidak mampu ditunaikan, ia menjadi tanggungjawab di dunia dan akhirat. Saya berasa tidak layak memegang jawatan penting itu. Sebab itulah saya menangis.”.

Begitulah mulianya hati pahlawan-pahlawan Allah yang tidak menjadikan jawatan sebagai raja di hati mereka.

Akhirnya Abu Ubaidah akur akan perintah Umar Al Khattab. Tetapi beliau meminta perkara-perkara itu dirahsiakan dan hanya disebarkan selepas mereka berperang dengan Rom. Khalid Al Walid berjuang di sisi Abu Ubaidah dengan sepenuh hatinya biarpun Khalid baru sahaja dilucutkan jawatannya. Sungguh mulia pekerti itu. Dengan itu mereka berjaya menewaskan Rom.

Begitulah peribadi Khalid Al Walid yang tidak mahukan jawatan dan memegang jawatan kerana Allah SWT. Begitulah peribadi Saifullah yang perlu menjadi contoh tauladan pada semua.

Wassalam.

0 comments: