Wednesday, April 9, 2008

Optimis

Assalamualaikum WBT

Bagaikan terlalu taksub dengan kisah Sang Pemimpi karya Andrea Hirata, aku mengambil nama itu untuk aku abadikan pada blog aku. Membaca buku ini membuatkan aku hanyut bersama watak-watak yang serba kena dan jalan penceritaan yang amat melankolik. Mengulik aku bersama-sama, membawa aku ke dunia yang penuh dengan mimpi-mimpi indah. Membaca novel ini membuatkan aku berani bermimpi, dan andai dapat memenuhi rukun-rukun sebuah mimpi, maka tidak mustahil ia menjadi realiti!

Semoleknya, aku tidak ingin mengungkaikan cerita itu disini, eloklah andai kalian dapat sendiri merasakan apa yang aku rasakan. Indah mimpi. Aku coretkan sedikit, ayat-ayat yang menggetarkan jiwa andai merasa dengan hati dan akal kurniaan-Nya, bukan sekadar difikiran.

“Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati…”

“Kita tidak akan mendahului nasib!!!”

“Kita lakukan yang terbaik di sini!!! Dan kita akan berkelana menjelajah Eropah sampai ke Afrika!!! Kita akan belajar di Perancis!!!... Apa pun yang terjadi!!!

Itulah antara ayat-ayat hidup yang digunakan dalam penceritaan ini. Tampak seperti diada-adakan untuk menambah rasa dalam menulis, tetapi, dalam membaca karya novel, bukan sekuntum ayat yang kita ambil, bahkan perlunya melihat kepada keseluruhan initsari isi yang ingin disampaikan. Aku sarankan kepada kalian agar cuba membaca novel ini. Kalau ingin membacanya, namun tidak berkesempatan untuk membelinya, bolehlah meminjam daripada aku. Siapa cepat, dia dapat.

Realiti sebuah kehidupan, anak-anak Belitong yang aku bacakan, aku cuba salami dan adaptasi sebaik mungkin dalam hidup aku. Begitu kuat anak-anak ini, cekal semangatnya, sedari umur belasan tahun, terpisah dari ibubapa untuk bersekolah. Untuk menampung keperluan harian dan persekolahan yang jauh dari keluarga tercinta, mereka terpaksa bekerja sambilan. Hari mereka bermula seawal jam 2 pagi ketika ikan-ikan turun ke dermaga untuk di angkut ke pasar pagi, kemudian ke sekolah ber’pefume’kan ikan, namun itu tidak menjadi penghalang kerana kepingan mereka terhadap ilmu. Penghabisan mereka setiap malam dengan dengkuran yang amat penat. Maka aku harus bekerja seperti mereka.

Mengimpikan Perancis, bermula dengan hanya menabung. Ah, apakah mungkin? Mereka berani bermimpi, kenapa tidak aku? Optimislah. Andai ada ketentuan Illahi, maka hanya waktu menjadi tembok untuk kita ke sana. Sentiasa bersyukur kerana setiap yang berlaku atas diri kita adalah yang terbaik dari-NYA, dan senyumlah kerana itulah cara kita menzahirkan kesyukuran terhadap-NYA.

Tiga bersahabat, menjunjung impian, mengharungi suka dan duka bersama-sama. Tidak terlintas walau sedikitpun persaan tidak senang. Sentiasa membantu sahabatnya walau susah mana sekalipun. Alangkah indahnya tali itu. Harmoni dan indah. Saat sahabat yang dua ingin ke tanah besar, sahabat yang satu meyerahkan tabungan selama ini yang diusahakan untuk sahabat yang dua tanpa ketahuan mereka, berbahagia kerana dapat membantu sahabat yang dua yang akan berkelana jauh. Sahabat yang sentiasa perihatin, menguntum senyuman di saat paling susah, itulah yang aku perlukan. Sahabat janganlah ada kepura-puraan, ikhlaskan hati, maka itulah yang akan mengharumkan persahabatan kita.

Senyum seorang bapa yang tersirat penuh makna. Kata salam yang menceriakan jiwa anak. Berbasikal 30KM untuk mengambil buku rekod anak-anak. Bahagia. Hanya kerna melihat ke dalam mata ayah serta ibu, dan anak itu dapat menyelami perasaan mereka, maka itulah anak yang baik. Hargai mereka.

Itulah sifat-sifat novel Sang pemimpi yang aku mampu acukan dalam diri aku. Andai rukun-rukun mimpi itu dapat aku penuhi, maka kuntuman senyum yang terkahir adalah milik aku. Mengapa harus terkilan? Optimis sahaja.






2 comments:

aNfaLafNa said...

maaf ye buku kamu nih lame saye pnjm..terpaksa pause bace wat sementara memandangkan lbh byk buku yg lbh pntg tuk dbace(exam mode)huhu...
xperkan? :p

AKU said...

tak pa la. Yang pntg njoy baca :D. X kesah pon. utamakan yg lbh utama :)