Thursday, December 18, 2008

Perjuangan Za’ba menegakkan “Madrasah Besar” bagi menyampaikan “Dua Bagi Satu Ilmu” dalam “Bahasa Melayu” untuk “Orang Melayu”

Assalamualaikum WBT

Petikan artikel:

Artikel ini disadur dan disunting daripada Syarahan Prof. Adnan Awang di Institut Peradaban Melayu, UPSI, 16 Disember 2008.

Pemikiran Za’ba adalah konsisten dalam memperjuangkan penubuhan institusi pengajian tinggi di Tanah Melayu. Pemikiran pendidikan berteraskan konsep “dua bagi satu ilmu” kuat mempengaruhi pendiriannya walaupun beliau mengetahui pemikiran itu tidak dapat menjadi kenyataan pada ketika itu.

Za’ba berterusan mengemukan pemikirannya mengenai kepentingan pengajian tinggi untuk orang Melau dan muslim. Dalam memorandum yang dituliskannya semasa di SITC dan dikirimkan kepada pihak berkuasa pendidikan British (1935), Za’ba mengesyorkan supaya ditubuhkan Universiti Vernakular Melayu.

Dalam memorandumnya kepada Raffles College (1938) pula, Za’ba mengesyorkan supaya ditubuhkan Program Pengajian Melayu. Kedua-dua saranan tersebut menyaksikan perubahan ketara konsep pendidikan dua bagi satu ilmu itu, iaitu sekular dan Islam disatukan.

Perjuangan pendidikan Melayu dan muslim Za’ba bagi melihat tertubuhnya “sebuah atau dua buah Madrasah Besar” seperti diungkapkanya sejak 1917 dan dijelaskannya pada 1920 sebagai Universiti Islam, tidak berjaya sehingga menjelang Perang Dunia Kedua.

Beliau mengetahui istilah universiti, tetapi sengaja menggunakan istilah madrasah besar bagi menunjukkan perbezaan pendidikan yang beliau mahu, iaitu dua bagi satu ilmu, pelajaran untuk dunia dan akhirat sekaligus.

Konsep serta struktur pendidikan terpisah ciptaan kolonial kekal hingga kelahiran Universiti Malaya (1949), tetapi mempunyai Jabatan Pengajian Melayu seperti disarankan oleh Za’ba kepada Raffles College. Jabatan Pengajian Islam juga tertubuh di Universiti Malaya. Ini juga menyamai saranan Za’ba bagi mewujudkan Kolej Islam itu.

Kolej Islam lahir pada 1955 di Selangor dan lulusannya layak memasuki Universiti Malaya pada sesi pengajian 1958/59. Kolej ini tidak berkembang menjadi Universiti Islam. Pada 1970 Universiti Kebangsaan Malaysia tertubuh, bahasa pengantarnya bahasa Melayu.

Universiti ini masih berada dalam kerangka terpisah, sama seperti Universiti Malaya, kecuali penggunaan bahasanya. Akhirnya tertubuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1983. Tetapi bahasa pengantarnya pula adalah bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu seperti yang dikehendaki oleh Za’ba.

Konsepnya dua bagi satu ilmu dalam bahasa Melayu itu masih belum tercapai.

0 comments: