Saturday, January 24, 2009

Lihat dahulu asalmu Tuan!

Assalamualaikum WBT

Sebuah kajian dokumentasi yang dilakukan di Institut Peradaban Melayu, UPSI dapat memberi gambaran realiti pendidikan kaum Melayu berbanding dengan sistem pendidikan untuk kaum lain yang tinggal di negara ini. Daripada gambar bangunan sekolah-sekolah Melayu dapat kita melihat betapa aspek pendidikan formal Barat untuk orang Melayu itu belum lama dibangunkan.

Walau bagaimanapun, pendidikan pondok memang sudah wujud lebih lama daripada pendidikan Barat. Aspek ini sedang dikaji IPM.

Beginilah bentuk bangunan sekolah Melayu 100 tahun dahulu.

Sekolah Melayu Kuala Tekal, Pahang pada tahun 1913.

Dana, peruntukan guru dan pengurunan sekolah-sekolah ini adalah rendah keutamaanya.

Sekolah Tamil di estet getah sekitar 1920-an.

Sekolah kaum Tamil juga tidak diberi perhatian, mereka sekadar dibiarkan begitu supaya dapat menyediakan tenaga kerja manusia berterusan di estet getah, jabatan PWD (JKR) dan keretapi.

Sekolah Cina di pekan kecil sekitar 1920-an.

Kaum Cina menjaga keperluan masyarakatnya. Sekolah-sekolah kaum Cina di bandar dan luar bandar itu terurus dengan agak baik oleh pemimpin kaumnya sendiri.

Sekolah Inggeris St. George, Taiping pada tahun 1915.

Sekolah Inggeris memang diberi keutamaan yang lebih. Lokasi sekolah-sekolah ini adalah bandar dan pekan-pekan besar.

Daripada lokasinya, ternyata sekolah yang lengkap ini bukan untuk anak Melayu. Malah ada sekolah Inggeris di luar bandar (Lenggung dan Bagan Serai di Perak: 2008, Adnan Awang) yang ditutup supaya kaum Melayu di luar bandar itu tidak mendapat akses kepada pendidikan.

Pemerintah Inggeris pula mempunyai dasar yang sangat jelas mengenai pendidikan kaum Melayu. Orang Melayu itu diberi pendidikan supaya tahu menulis dan membaca, dan menjadi lebih pandai sedikit sahaja daripada ibu bapanya, supaya mereka itu mengetahui hal-hal kesihatan, bercucuk tanam dan bertukang. Selepas bersekolah mereka bolehlah meneruskan kehidupannya sebagai pekebun dan pesawah di kampung-kampung.

Maka dengan demikian, mereka dapatlah menjadi pesuruh yang taat kepada kelas menengah dan penjajah pada masa itu ….. dan juga sekarang.

Malah, ‘orang patut-patut’ Melayu pada masa itu tidak rela anak mereka duduk sederet dengan anak bekas hambanya.

Skenario ini belum berubah.

PPSMI akan mengembalikan orang Melayu luar bandar dan miskin di pinggir bandar ke zaman “supaya mereka diberi sedikit pelajaran supaya lebih pandai sedikit sahaja daripada ibu bapanya, tidak juga akan menjadi lebih pandai daripada anak ‘orang patut-patut.’


Petikan blog Prof. Emeritus Abdullah Hassan

0 comments: