Friday, June 26, 2009

Celoteh 2

Assalamualaikum WBT

Sudah tak kedengaran lagi laungan anti-PPSMI dari GMP setelah usaha mutakhir mereka yakni 1 juta poskad juga tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan. Begitulah pola kerajaan, mana mungkin mereka akan menarik balik keputusan yang telah dibuat, tambahan pula yang dimulakan pada zaman Tun Mahathir. Siapa yang berani?

Dipertemukan pula oleh saya sebuah tulisan yang mengatakan, jika dilakukan carian di portal Google, perkataan Sains hanya memberikan 18.5 juta perkara berbanding perkataan Science yang memberikan 718 juta perkara. Bayangkan di masa hadapan dengan PPSMI masih lagi diteruskan, perkataan Sains akan memberikan hanya mungkin 20 juta perkara berbanding 1 billion carian untuk perkataan Science.

Pastinya, anak-anak yang telah terdidik dalam bahasa Inggeris akan menulis dalam bahasa Inggeris. Hendak menulis dalam bahasa Melayu, pastinya akan gagap. Maka jadilah kita bangsa Melayu berbahasa Inggeris.

Tambahan lagi dalam suasana bahasa Melayu itu sendiri yang tidak mampu diperkasakan. Dengan proses memperkasakan bahasa ibunda itu direncatkan dengan PPSMI, maka bahasa Melayu akan dipinggirkan seperti tulisan jawi.

Anak-anak hari ini tidak mahu belajar tulisan jawi, sebegitu juga di masa hadapan, anak-anak pastinya tidak mahu belajar bahasa Melayu kerana apa gunanya bahasa Melayu? Bahasa itu tidak lagi digunakan dalam pelajaran, ataupun di alam pekerjaan. Hendak digunakan sebagai bahasa pertuturan seharian? Mana mungkin kerana untuk lebih menguasai bahasa Inggeris, anak-anak ini akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan. Benar bukan?

Tulisan jawi hari ini mungkin boleh wujud kerana adanya bahasa Arab. Dan bahasa Melayu akan wujud di masa hadapan hanya kerana adanya bangsa serumpun yang menggunakan bahasa yang sama seperti Indonesia. Namun seperti juga tulisan jawi, kita akan menganggap bahasa Melayu itu sesuatu yang eksotik!

Banyak sudah cadangan-cadangan yang di utarakan oleh pihak GMP sebagai alternatif sesudah dimansuhkan PPSMI, namun dianggap remeh sepertinya melepaskan batuk di tangga.

'Melepaskan batuk di tangga' sebenarnya dinukilkan oleh orang-orang dulu kerana peristiwa disebaliknya. Tangga di rumah-rumah kayu kampung dahulu tidaklah sekukuh tangga batu sekarang, jadi apabila hendak batuk di tangga, mereka kena tahan agar tangga itu tidak roboh. Jadi batuk mereka itu kedengaran seperti tidak bersungguh-sungguh. Itulah ceritanya.

Kayanya Bahasa Melayu

0 comments: