Wednesday, July 8, 2009

PTS Memberi Keutamaan kepada Calon Staf yang Pernah Memegang Jawatan Pemimpin Pelajar

Assalamualaikum WBT

Ini adalah petikan dari portal PTS Puan Ainon.



Barangkali, berdasarkan nisbah jumlah staf dan jumlah bekas pemimpin pelajar, maka PTS mungkin berada pada kedudukan No. 1 di Malaysia.

Ini disebabkan PTS memberi ranking tinggi kepada bekas pemimpin pelajar apabila mencari calon bagi mengisi jawatan kosong. Tidak ada kekecualian, baik bagi calon lelaki mahupun perempuan.

Memang kita lebih menyukai individu-individu yang mempunyai keserupaan dengan diri kita sendiri. Dalam psikologi, tingkah laku ini dikatakan kita mencari 'mirror image' kita sendiri. (Saya bekas pemimpin pelajar, sejak di sekolah sehingga di universiti.)

Justeru PTS mencari mereka yang aktif dalam aktiviti pertubuhan pelajar, baik sebagai Presiden, exco, ataupun paling minimum sebagai pengarah projek dan anggota jawatankuasa kecil projek.

PTS memberi ranking tinggi bagi calon yang aktif dalam projek-projek kemasyarakatan dengan kelompok kurang bernasib baik, seperti Orang Asli, anak yatim, penduduk setinggan, kampung mundur, persatuan surau dan masjid, banduan dan seumpama itu. (Saya aktif dengan kumpulan itu.)

Kalau kita tolak faktor 'mirror image', memilih bekas aktivis pelajar tetap mempunyai banyak kebijaksanaannya:

(i) Mereka mempunyai EQ yang tinggi, itulah sebabnya mereka terpilih menjadi pemimpin pelajar.

(ii) Mereka mempunyai social skills yang tinggi, khususnya kemahiran bekerja dalam kumpulan. Persatuan adalah perkumpulan. Dalam bisnes, kamahiran bekerja dalam kumpulan adalah kemahiran yang kritikal.

(iii) Mereka mempunyai kemahiran berbudaya (cultural skills) yang tinggi. Mereka tahu pantang larang dan adab sopan, serta pandai merendah diri dalam menjalin hubungan dengan orang-orang penting. Sebagai pemimpin pelajar yang aktif dalam projek kemasyarakatan mereka mempunyai banyak pengalaman bekerjasama dengan pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin komuniti.

(iv) Mereka pandai merancang projek, pandai menentukan target dan jadual kerja, pandai membina pasukan kerja, pandai berucap, menulis surat rasmi, laporan, dan menyediakan kertas kerja projek.

(v) Mereka pandai mengendalikan mesyuarat, mengendalikan sesi brain-storming, dan post-mortem projek dengan cara-cara yang produktif.

(vi) Mereka mempunyai kemahiran menilai prestasi diri sendiri, dan pandai memainkan pelbagai peranan (multi-role skills), oleh itu mereka pandai berfungsi dalam pelbagai posisi, ada masanya mereka menjadi pemimpin kumpulan, manakala ada masanya mereka menjadi ahli kumpulan yang dipimpin oleh orang lain.

(vii) Mereka mempunyai sifat tidak mementingkan diri sendiri, sifat sanggup bekorban demi mendahulukan kepentingan kumpulan (itulah sebabnya mereka aktif dalam projek kemasyarakatan).

(ix) Mereka mempunyai sifat liat, tidak mudah putus asa, tekun, terfokus dan ghairah dengan kejayaan.

(x) Mereka pandai mendorong diri sendiri, dan pandai mendorong dan menghargai sumbangan rakan-rakan sekumpulan dalam melaksanakan projek, suatu sifat yang sangat penting dalam memotivasi rakan sekerja.

(xi) Mereka mempunyai sifat sangat idealistik, yakni mereka hanya mahukan yang baik-baik sahaja. Mereka tidak mahu berkompromi dengan sesuatu yang tidak selaras dengan idealisme yang mereka anuti. Sifat ideaistik inilah yang menghasilkan kerja berkualiti tinggi dan etika kerja yang tiada cacat-celanya.

(xii) Mereka mempunyai banyak cita-cita dan angan-angan!

Perkembangan kerjaya dalam syarikat memerlukan semua kemahiran dan sifat-sifat di atas. Apabila individu berkembang, barulah syarikat berkembang. Tugas pengurusan syarikat adalah mencipta suasana kerja yang kondusif kepada angan-angan mereka, dan membanyakkan peluang-peluang bagi mereka mengembangkan bakat masing-masing....

Nota: Foto dengan ikhsan Tn. Hazali di waiz.com yang menunjukkan sebahagian anggota TimPTS bermain paintball bersama-sama dengan pendukung PTS (penulis, kontraktor dan pencetak).

0 comments: