Saturday, February 13, 2010

Tunku Abdul Rahman Tidak Boleh Menyelam

Assalamualaikum WBT

Petikan laporan dari dua akhbar tabloid Malaysia. Laporan dari Kosmo

Operasi Scorpene tidak terjejas

MELAKA - Kerajaan memberi jaminan operasi kapal selam KD Tunku Abdul Rahman tidak terjejas dalam jangka masa panjang meskipun ia kini menghadapi masalah mekanikal yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan yang dijalankan mendapati kerosakan kecil itu hanya melibatkan bahagian yang menyalurkan air keluar masuk bagi membolehkan Scorpene menyelam.

Beliau berkata, pihak pembekal peralatan tersebut sudah pun menghantar kakitangan mereka untuk memperbaiki kerosakan kapal selam itu yang masih dalam tempoh jaminan.

"Apabila sudah dibaik pulih nanti, kapal selam pertama negara ini akan boleh beroperasi seperti biasa," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 3 Divisyen Kem Terendak di sini semalam.

Manakala laporan dari Harian Metro

Kerosakan KD Tunku Abdul Rahman tak jejas operasi

MELAKA: Kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam sejak 17 Januari lalu, tidak akan menjejaskan operasinya dan boleh diperbaiki oleh pengeluar, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu masih dalam tempoh jaminan syarikat pengeluarnya di Perancis dan menjadi tanggungjawab pihak terbabit untuk membaik pulih kerosakan berkenaan. “Kita ada melakukan siasatan baru-baru ini dan mendapati ada kerosakan kecil pada kapal selam berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan operasinya.

Sebenarnya kita ada tempoh jaminan ke atas kapal selam itu dan yakin pihak pembekal atau pengeluarnya akan memperbaikinya,” katanya mengadakan lawatan kerja ke Markas Tiga Divisyen, Kem Terendak, dekat sini, semalam. Pada lawatan berkenaan, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, kerusi roda dan alat bantuan berjalan kepada 14 balu dan bekas tentera di negeri ini. Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad. Akhbar semalam melaporkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, akan melakukan Ujian Perairan Tropika pada 18 Februari ini dan dijangka beroperasi semula selepas mengalami kerosakan teknikal pada 17 Januari lalu.


Itulah nasib kapal selam pertama negara yang dibeli daripada Perancis dengan harga yang dianggarkan menjangkau RM 3.4 Billion. Siapa sangka kapal selam pertama negara yang telah diberi sambutan ketibaan yang gah dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama Sultan Selangor Darul Ehsan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj telah berkenan mencemar duli menyambut ketibaannya, TIDAK BOLEH MENYELAM! Seluruh rakyat pastinya tahu akan drama yang telah berlaku disebalik pembelian kapal selam ini. Altantuya, C4, Sarjan adalah antara kata kuncinya. Apakah selepas drama-drama itu, kapal selam ini hanya akan tersadai di Selat Melaka sebagai salah satu tarikan pengunjung? Apakah nanti nasib KD Tunku Abdul Rahman?

0 comments: