Saturday, March 27, 2010

Istana Kelantan Bergolak

Assalamualaikum WBT

Pelik benar aku dengan Istana Kelantan nih. Acap benar timbul kontroversi akhir-akhir ni. Bermula kes Monahara pastu Sultan gering, pastu Tengku Faris pecat Tengku Fakhry pastu MPN pulak pecat Tengku Faris. Pelik bebenar ni.

Tengku Abdul Halim ganti Tengku Abdul Aziz terajui Majlis Perajaan Negeri

KOTA BHARU: Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan semalam mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua MPN baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah.

Setiausaha MPN, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata pelantikan Tengku Abdul Halim itu berkuat kuasa kelmarin selepas pembatalan pelantikan Tengku Abdul Aziz, berkuat kuasa pada tarikh sama. "Bagi menjunjung titah perintah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, saya memaklumkan bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah dibatalkan pelantikan dan dilepaskan menjadi YDP MPN berkuat kuasa 25 Mac 2010," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Antara yang hadir sama pada sidang media itu, termasuk Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Shafie Ismail.

Selepas sidang media itu, satu laporan polis dibuat Shafie di Balai Polis Kota Bharu, berhubung kenyataan Datuk Wan Hashim Wan Daud, mengenai penamatan khidmat Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja, kelmarin.

Wan Hashim pada sidang media di Istana Mahkota kelmarin, membacakan perisytiharan bahawa Tuanku Ismail Petra melucutkan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta- merta.
Bagaimanapun, Mohd Aiseri mengatakan pengisytiharan itu tidak sah kerana tidak mewakili MPN.

Perkara 11 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, menyebut mana-mana keputusan MPN tidak sah dan terpakai melainkan sekurang-kurang dua pertiga daripada ahli MPN hadir mengundi, bersetuju.

Sementara itu, Mohd Aiseri yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, majlis pengurniaan pingat kebesaran yang akan diadakan pada 30 Mac ini bukannya sempena dengan Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60.

Katanya, ia diadakan dengan perkenan Tengku Muhammad Faris Petra, untuk menganugerahkan darjah kebesaran kepada individu yang diperkenankan baginda.

"Majlis pengurniaan pingat itu akan diadakan di Istana Balai Besar dan kebetulan diadakan pada 30 Mac. Ia akan diadakan secara berperingkat-peringkat mengikut tarikh yang diperkenankan tuanku (Pemangku Raja).

"Ia diadakan mengikut ketetapan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, Perkara 43(1), yang membolehkan Pemangku Raja mengurniakan darjah kebesaran itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta seluruh rakyat mematuhi undang-undang dan perlembagaan negeri dalam usaha menyelesaikan kemelut membabitkan Istana Kelantan sekarang.

Beliau tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan mana-mana kumpulan dalam isu itu, sebalik mematuhi apa yang dikehendaki mengikut perlembagaan negeri.

"Saya nasihatkan kepada rakyat semua, dalam masa kekecohan ini supaya patuh kepada Perlembagaan, jangan dengar A dengar B, tetapi ikut Perlembagaan," katanya.


Sumber BHarian Online.

0 comments: