Sunday, July 10, 2011

Hikayat Negeri Atas Angin

Assalamualaikum WBT

Adapun negeri Atas Angin itu aman damai kerana diperintah oleh Sultan Ahmad yang saksama. Dek kerana besarnya kerajaan Atas Angin itu, Sultan Ahmad membahagi negerinya kepada daerah-daerah yang dikepalai oleh memanda menteri yang dipilih oleh sekalian rakyat jelata.

Negeri yang aman makmur itu dilimpahi rahmat Allah, dikurnia rezeki yang tidak putus. Ada yang bersyukur, namun ada juga yang menjadi bongkak dan tamak. Memanda Penghulu Menteri yang dulunya menjadi sanjungan rakyat dan harapan raja untuk mengurus negeri mula lupa diri dan tanggungjawab. Segala apa yang dilakukan hanya untuk kebaikan sendiri dan pengikutnya sahaja (kroni).

Kebajikan rakyat negeri Atas Angin mula terabai. Rasuah berleluasa di kalangan memanda menteri. Kekayaan negeri hanya dikongsi antara mereka yang berkepentingan sahaja. Yang kaya seperti Orang Kaya Seman-pengedar gula dan Orang Kaya Dalik-tauke padi, semakin kaya. Yang kurang kaya seperti Jali-nelayan dan Sura-pesawah, semakin terhimpit hidup. Harga barang keperluan seperti beras dan telur di naikkan harga.

Akibat hidup yang semakin tertekan, Jali dan Sura ingin mengadap Sultan menyampai rasa. Hebohlah satu negeri Atas Angin yang Jali dan Sura ingin berjumpa Sultan Ahmad. Setelah mendengar perkhabaran bahawasanya ada rakyat yang ingin menghadap, Sultan Ahmad memberi perintah agar Jali dan Sura dibawa menghadap.

Dek kerana takut segala perbuatannya terbongkar, Penghulu Menteri mula mengatur rancangan. Mulanya disebarkan, sesiapa yang berani menghadap Sultan Ahmad akan dihukum penjara. Keduanya, pengawal-pengawal dikerah berkawal sekitar rumah Jali dan Sura agar mereka berasa gentar. Ketiganya, di beri arahan kepada Panglima dan Bentara agar pergi menahan Jali dan Sura, dan gunakan kekerasan jika perlu.

Dengan menggunakan kekuatan dan kebijaksaan, Jali dan Sura berjaya juga sampai di Istana Sultan Ahmad. Namun kelihatan ratusan pengawal berkawal di kawasan istana. Langkah Jali dan Sura tersekat. Sultan Ahmad pula dihasut oleh Penghulu Menteri bahawasanya, Jali dan Sura telah memberontak dan ingin membunuh baginda. Dek kerana terlalu percayakan Penghulu Menteri, Sultan Ahmad menitahkan agar Jali dan Sura ditangkap dan dihukum bunuh tanpa bicara.

Dek kerana keputusan yang terburu-buru itu, maka hancurlah kerajaan negeri Atas Angin. Huru-hara disana-sini. Penghulu Menteri dan sekalian pengikutnya lari meniggalkan Sultan Ahmad sendirian. Rakyat mula berhijrah mencari perlindungan di negeri lain. Runtuh sekelip mata kerajaan Atas Angin yang gemlang dan terbilang itu.

Kata orang tua, hilang rakyat maka hilanglah daulat raja.

0 comments: